Tuesday, September 15, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Kini Ramadhan hampir tiba ke penghujungnya dan Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk menempuhi bulan yang penuh keberkatan ini. Sempena Syawal yang bakal menjelang, Pengerusi dan semua AJK KRT Bukit Depu ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua warga negara yang beragama Islam amnya dan kepada pengunjung blog ini khasnya. Terima kasih diatas sokongan anda. Kini jumlah pengunjung telah meningkat. Marilah kita mengambil peluang ini untuk saling memohon dan memberi kemaafan antara satu sama lain dan bersama sama menerapkan semangat perpaduan diantara kita. Kepada yang akan memandu pulang ke kampung halaman, berhati-hati lah dijalan raya dan ingatlah orang yang tersayang.
KRT BUKIT DEPU 2009

Amalan Sunnah Sempena Aidil Fitri

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari) Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3. Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini. • Bertakbir. Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T: "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185. Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: "Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32 Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat. • Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri. Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
• Meneruskan qiamullail. Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.
• Mandi pada pagi hari raya. Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: "Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119. • Makan sebelum solat Aidilfitri. Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h: "Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953. Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air. • Memakai pakaian yang indah. Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327. Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah: "Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327. Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w: "Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036. Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya. • Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya. Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: "Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487. Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: "Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata: "Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms.. 49. • Tempat perlaksanaan solat hari raya. Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r..a berkata: "Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata: "Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394. • Mengerjakan Solat Aidilfitri Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata: "Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989. Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: "Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: "Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975. • Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata: "Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata: "Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959. • Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164. Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun. PENUTUP Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Wednesday, September 9, 2009

Wawancara Dengan Pengarah Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu

Pada 26 hb Ogos 2009 yang lalu bertempat di 4187 Taman Sangsura,21100 Kuala Terengganu, satu temu bual exlusif telah berlangsung dimana Tn Hj Dol Razlan Pengerusi KRT Bukit Depu menemubual Tuan Pauzan bin Ahmad , Pengarah Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu yang juga seorang anggota SRS KRT Bukit Depu dan juga seorang Pegawai Kanan yang pertama terlibat secara langsung dalam aktiviti skydiving atau payung terjun di Malaysia. Beliau adalah seorang yang gigih, bermotivasi tinggi, berpegang kuat dengan ajaran Islam, sering menampilkan contoh- contoh buat dijadikan tauladan kepada pegawai bawahan serta pada kawan kawan SRS di KRT Bukit Depu.Ini tidak boleh dipertikaikan lagi oleh penduduk mukim. Agak berusia untuk melibatkan diri dalam aktiviti lasak serta berbahaya ini oleh seorang Pengarah di Jabatan Kerajaan , tapi itulah tokoh yang istimewa ini berpegang kuat pada takdir dan peraturan serta yakin segala sesuatu itu jika dilakukan dengan sungguh sungguh,dengan ilmu serta kepercayaan kepada Allah yang satu ,sebahaya mana pun keadaan,Insyaallah ,ia boleh dilaksanakan. Walaupun sedang bercuti sakit kerana kemalangan kecil yang menimpa beliau pada 7.8.2009 yang lalu , Tuan Pauzan Bin Ahmad dengan senang hati menyambut Pengerusi KRT Bukit Depu Hj.Dol Razlan bin Yusof (DRY) untuk diwancara bagi mengetahui dan mencari kelebihan pengalaman dan kemampuan beliau buat dikongsi bersama - sama dengan anak mukim. Dibawah adalah petikan wawancara exklusif beliau sebagai pengajaran kepada kita semua. DRY: Sejak bila Tuan terlibat dengan aktiviti skydiving dengan serius?
Tuan Pauzan: Sejak April 2007, iaitu mengikuti kursus asas payung terjun yang dijalankan diWakaf Tapai dan seterusnya membuat pertunjukan payung terjun sempena sambutan Hari Anggota Bomba peringkat kebangsaan yang juga diadakan di Wakaf Tapai pada bulan Mei tahun yang sama.Sejak itulah saya telah terlibat dengan secara serius.
DRY : Berapa lama Tuan menghadiri kursus asas bagi melengkapi diri sebagai seorang penerjun yang baik atau mendapat lesen..? Tuan Pauzan: Kami diberi kursus asas selama 5 hari penuh dengan 2 hari untuk ground training dan 3 hari membuat terjunan daripada helicopter pada ketinggian 4000 kaki.Kursus ini ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan dan telah melibatkan pegawai pegawai yang berminat dan dipilih untuk menganggotai pasukan MUST (multiskill team) dan pasukan smoke jumpers bagi tujuan menghadiri insiden kecemasan yang mana jalan masuk biasa sukar atau tidak dapat dijalankan, seperti kebakaran hutan dan sebagainya.. Di negara maju saperti di Canada, pasukan smoke jumpers ni sudah lama ada dan Negara kita merupakan yang pertama di asia. Pada dasarnya terdapat 2 jenis penerjunan payung iaitu Static ram air dan free fall. Statik ram air ialah penerjunan yang mana payung akan ditarik keluar dan terus kembang dari bag oleh tali static sepanjang lebih kurang 15 kaki yang disangkutkan pada pesawat. Bagi peserta-peserta baru cabaran yang paling besar adalah untuk melompat keluar dari pesawat diikuti cabaran untuk mendarat. Free fall pula adalah penerjun perlu mengeluarkan payung mereka daripada bag setelah melakukan beberapa pergerakan/aktiviti semasa mereka jatuh bebas diudara. Sesorang yang hendak melakukan penerjunan Free Fall mereka perlu mahir dalam mengendalikan payung semasa diudara dan membuat pendaratan dengan selamat. Oleh yang demikian, dalam jabatan bomba dan penyelamat Malaysia telah menentukan calon free fall mestilah sekurang -kurangnya telah membuat penerjunan Statik sekurang-kurang 21 kali terlebih dahulu. Ianya satu aktiviti yang seronok yang dapat memberi cabaran jatidiri, adventure…terbang macam burung di udara , menikmati alam dari udara.’make you feel like a real hero’…apatah lagi jika penerjun itu dapat menggunakan skil dengan penggunaan payung dengan berbagai bagai cara…ianya adalah satu aksi yang sungguh mencabar. DRY: Tuan masih ramai yang mengatakan bahawa aktiviti skydiving ini suatu yang bahaya. Kenapa masih ramai yang terlibat dalam aktiviti ini. Apa pandangan Tuan. Tuan Pauzan: Pada saya jika sesuatu aktiviti itu dilaksanakan dengan ilmu, kesungguhan dan keberanian serta patuh terhadap garispanduan dan peraturan yang ada, ianya akan menjadi selamat. Nak kira bahaya kalau kita membawa kereta tanpa mengikut peraturan pun banyaklah risiko yang kita akan tempuh. Kita sebagai orang islam perlu percaya pada Qada dan Qadar Allah. Jika sesaorang itu dah ditakdirkan mati dibaham singa..tak payah pergi ke Afrika pun,tapi masuk di zoo pun boleh mati kena dibaham singa, seperti yang telah berlaku di singapura. Memanglah terjun dari pesawat yang hanya mengharapkan payung dapat berfungsi dengan baik, sememangnya mengandungi risiko. Tapi itu bukan persoalannya. Setiap tahun dunia mencatat tidak kurang 35 orang mati kerana skydiving dari 2 juta penerjunan, 46,000 orang lebih mati kemalangan jalan raya , 140 orang mati kerana diving , 850 orang mati kerana berbasikal , 80 orang mati dipanah petir..Ini adalah logik yang boleh membuktikan point adakah kita masih curiga pada perangkaan? Dulu semasa saya di Alor Setar dalam satu misi mencari orang hilang di dalam sungai.Saya pergi bersama dengan 2 orang pegawai saya.Waktu itu hari dah malam.Orang orang kampung melarang saya supaya jangan turun kesungai kerana bahaya dan haripun dah malam.Bahaya maknanya disitu lubuk buaya dan malam maknanya ,memang kawasan tu berpenunggu. Saya cakap kat dia orang, saya datang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pasukan penyelamat yang selebihnya saya serah kepada Allah yang menentukannya. Kami turun bertiga dimalam yang gelap gelita. Air sungai waktu malam mana nampak apa apapun, bayangkanlah air sungai di alor Setar macam susu, so pakai raba sajalah untuk rasa. Pada mulanya kami rempuh kayu dan sampah sarap.kemudian kami masing-masing merasai terdapat banyak alur lebih kurang lebar dan panjang badan buaya yang bersih tanpa sampah sarap dan kotoran. Mungkin itu tempat buaya landing didasar sungai kot. Dalam saya meraba raba, terasa seperti terpegang ekor buaya.Kami selamat naik dipengkalan dengan izin Allah..terpegang ekor buaya ini dapat diperkuatkan lagi apabila berada diatas daratan, sarung tangan saya terlekat dengan lender pada badan buaya.,bukankah ini Takdir Allah namanya? Tiada siapa dari kami yang mati malam tu padahal kami semua berada dilubuk buaya..berada didalam rumah rumah mereka..tempat buaya landing.. DRY: Boleh Tuan kongsi apa yang Tuan tahu tentang ‘Night Jump’ kepada kami? Tuan Pauzan: Macam yang saya kata skydiving ni ialah sukan lasak yang mencabar mental dan fizikal. Bukan itu sahaja ia jugak demand kepuasan. Dalam penerjunan malam tentulah berbeza dengan penerjunan siang. Penerjunan malam melibatkan banyak peralatan seperti a lighted altimeter dan audible altimeter , flash light ,visible light yang boleh dilihat dari jarak 3 batu dipakai dibawah canopy dan sebagainya. Banyak lagi jenis jenis penerjunan yang lebih mencabar dalam skydiving seperti Hit and Rock,Parachute Landing ,Swoop and Chug, Cross Country ,Tracking Jump ,Camera Flying,Stuff Jumps dan sebagainya. Saperti contohnya stuff jump , penerjun akan terjun bersama objek yang besar seperti rakit getah , kereta , motosikal dan sebagainya sambil beraksi diudara pada ketinggian tertentu. DRY: Pada 7 haribulan Ogos yang lalu Tuan telah mengalami kemalangan kecil yang dianggap sungguh bernasib baik buat seorang penerjun kerana kecederaan ringan yang Tuan hadapi . Apakah pengajaran yang Tuan perolehi dari peristiwa ini yang dapat dikongsi bersama kami? Tuan Pauzan: Pada saya ianya adalah satu hikmah.Kita jangan lupa sesuatu kejadian buruk yang menimpa kita selalu ada 3 mesej dari Allah. 1. Sebagai bala 2. sebagai kifarah 3.Untuk meningkatkan martabat kita. Sebelum kejadian saya telah membuat beberapa penerjunan yang melibatkan hook and turn pada ketinggian yang rendah sebelum membuat pendaratan. Semasa hook and turn, kadar kejatuhan adalah tinggi dan ianya juga mengundang risiko yang tinggi juga.Semuanya telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Pada hari tersebut saya hendak membuat perkara yang sama pada ketinggian yang lebih rendah lagi. Oleh kerana tersilap perhitungan, saya telah terhempas pada ketinggian lebihkurang 20 kaki akibat silap perhitungan semasa membuat hook and turn pada ketinggian yang terlalu rendah. Akibatnya, tulang peha kanan saya telah mengalami patah tebu. Itu adalah yang tersurat. Apa yang tersirat, pada hari itu saya sebenarnya telah terlalu yakin pada diri sendiri, meletakan kechanggihan peralatan dihadapan dan meletakkan kekuasaan Allah dibelakang. Pada saya ini adalah mesej yang Allah hendak sampaikan pada saya. Saya bersyukur kerana kesedaran ini disampaikan pada keadaan yang masih belum terlewat. Saya telah membuat sebanyak 35 kali penerjunan dan telah membuat berbagai aksi diudara yang menunjukkan tahap kemahiran dalam mengendalikan payung. Terjun payung merupakan extreme activities. Kalau kita tidak mampu melakukan aksi yang extreme, ianya menjadi satu kebosanan dan orang yang melihat juga merasa hambar.Saya redha dan besyukur diatas apa yang terjadi berharap keadaan akan cepat sembuh dan berhajat akan meneruskan penerjunan bagi mendapatkan lesen Free Fall. Ini adalah juga sebagai suntikan semangat kepada pegawai pegawai saya yang terlibat dalam bidang skydiving ini khususnya dan dalam bidang bidang lain amnya. DRY: Tuan telah menceburi bidang skydiving sejauh ini dan telah melalui banyak perkara yang sukar, apakah Tuan tidak mendapat apa apa halangan dari keluarga Tuan? Tuan Pauzan: Pada peringkat awal memang ada.Tapi sebagai ahli keluarga yang telah diberi pemahaman tentang kedudukan sebenar aktiviti skydiving ini , mereka sekarang telah memahami dan tidak ada apa apa masaalah lagi. DRY: Apakah Tuan akan menghalang jika ada ahli keluarga Tuan menuruti jejak yang sama saperti Tuan? Tuan Pauzan: Sama sekali tidak.Saya tidak melarang atau menyuruh.Terpulang kepada mereka membuat keputusan bidang apa yang mereka suka.Jika bidang yang sama yang mereka pilih , InsyaAllah pengalaman yang saya ada ini akan saya gunakan sebaik mungkin membimbing mereka . DRY: Pada pandangan Tuan, bagaimanakah kedudukan masa depan aktiviti skydiving di Malaysia. Tuan Pauzan: Aktiviti skydiving di Malaysia ini telah lama ada .Cuma ia dilakukan oleh pihak Tentera,Polis ,Komando hanya sejak kebelakangan ini baru Bomba Penyelamat Malaysia .Badan badan swasta saya dengar telah banyak membuka kelas latihan kepada penerjun penerjun muda yang suka pada sukan lasak. Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal tapi bilangan peserta semakin bertambah dari hari kesehari. Bukan itu sahaja malah kaum wanita pun ada yang menceburi . Ini satu perkembangan yang baik dan satu bidang baru yang mula berkembang dengan pesat dinegara ini. ini memanglah berbeza jika dibandingkan dengan negara barat yang telah melakukannya sejak dahulu lagi. Saya percaya satu masa nanti pertunjukan payung terjun pada musim- musim perayaan bukan lagi dibuat oleh Polis,Tentera atau mana mana Jabatan Kerjaan,tapi oleh badan swasta , kelab kelab atau sebagainya. Bukankah ini satu perkembangan atau satu kemajuan? DRY: Tuan telah berkongsi pengalaman yang jarang diketahui oleh anak mukim, saya bagi pihak KRT Bukit Depu merasa bertuah kerana pengelibatan Tuan dalam skim SRS kami ,dan kami bangga dengan pencapaian Tuan dalam bidang skydiving ini . Semoga Tuan terus berjaya serta mencapai matlamat yang Tuan hajati . Saya juga mengambil kesempatan disini mengucapkan berbanyak banyak terima kasih diatas kesudian Tuan melapangkan masa .Saya doakan semoga kesihatan Tuan pulih dengan segera. Tuan Pauzan: Sama sama. Dan Terima kasih kembali.