Friday, June 25, 2010

Pertandingan Futsal Jiran Muda KRT Bukit Depu

Pada tarikh 18.6.2010 Jiran Muda RT Bukit Depu telah mengadakan Pertandingan Futsal untuk jiran muda. Pertandingan ini diadakan dengan tujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan bagi mewakili KRT Bukit Depu ini dalam pertandingan bola sepak akan datang.

Puan Nur Aida Yusniza membuat ucapan

Dalam ucapan perasmian Puan Nur Aida Yusniza mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Jiran Muda kerana telah berjaya menarik peserta yang ramai dalam penyertaan. Semoga program seperti ini dapat diteruskan menjadi acara tahunan.

Sebanyak 12 pasukan yang diwakili lima pemain setiap pasukan telah bertanding dalam pertandingan ini.

Pengerusi KRT Bukit Depu dalam ucapan aluan aluan menyatakan peserta peserta program futsal ini perlu juga melihat aktiviti aktiviti sukan yang lain yang boleh memberi daya saing kepada kewibawaan diri dan kumpulan , seperti sukan berbasikal , bola sepak pantai dan sebagainya.

Pengerusi KRT Bukit Depu menyampai hadiah kepada pemenang

KRT Bukit Depu dibawah program jiran muda sentiasa berusaha mengadakan acara acara seperti ini jika sambutan dikalangan peserta adalah baik.

Tuesday, June 22, 2010

Program Bumihijau KRT Bukit Depu Fasa 1

Program ini adalah lanjutan daripada Program Bumi Hijau yang diusahakan bersama Sekretariat Rukun Negara Universiti Darul Iman Malaysia yang dilancarkan pada 26.3.2010 yang lalu. Pada ketika itu apa yang sempat dilakukan ialah kerja kerja gotong royong membersih kawasan yang dilakukan pada sebelah pagi. Tapi hari ini, 14.5.2010 hasil permuafakatan Jiran Wanita KRT Bukit Depu yang diketuai Pn Mariam Mat Ali, kawasan tersebut telah ditanam dengan 60 pokok pisang dari berbagai jenis sebagai permulaan. Kita namakan program ini sebagai 'Program Bumihijau Fasa 1.'
Longgokan benih pisang menunggu untuk ditanam
KRT Bukit Depu amat berterima kasih kepada pemilik tanah yang telah memberi izin sementara kepada kami menanam pokok pokok pisang ditanah tersebut. Puan Mariam Mohd Ali, Pengerusi Jiran Wanita telah berusaha membawa baka benih pisang yang terbaik dari jenis rastali, nangka , lemak manis dan kelat abu, dengan harapan dapat membantu menambah pendapatan KRT.
Sebenarnya kerja kerja persiapan acara perasmiam telah bermula lebih awal, dimana tapak penanaman dibersih sekali lagi, lubang lubang digali dengan jarak yang bersesuaian bagi memudahkan aktiviti penanaman. Ianya diketuai oleh Tn Hj Khalild bersama beberapa ahli AJK.

Acara perasmian pada pagi bersejarah itu bermula dengan ucapan alua aluan yang disampaikan oleh Pengerusi KRT Bukit Depu, Tn Hj Dol Razlan. Beliau menegaskan dalam ucapan pelancaran pagi tersebut, "konsep pertanian dalam taman banyak memberi faedah dari aspek kecantikan, keperluan asas tani, laman yang harmoni dan bersepadu diantara tumbuhan yang boleh dimakan dan tanaman hiasan , apatah lagi boleh menjana pendapatan kepada KRT. Ianya perlu dilakukan secara terancang dan penuh muhibah."

Puan Hjh Norma Mohd Noor dalam ucapan perasmianya pula mengucapkan "syabas kepada Pengerusi Jiran Wanita, Pn Mariam khasnya dan warga kerja KRT Bukit Depu amnya , kerana walaupun tidak memiliki tanah tapi usaha merealisasikan projek bumi hijau dengan bermula tanaman pisang dikawasan taman secara kelompok seperti ini belum pernah diadakan."

Seterusnya acara simbolik dimana Tn Hj Dol telah menyerahkan sebatang anak pisang kepada Pn Hjh Norma bagi memulakan acara tanaman dan diikuti oleh semua yang hadir turut sama sama menanam sebatang pisang yang dibekalkan.

Majlis dengan rendah hati mengucapkan terima kepada penasihat pertanian Prof.Dr.Hj Hasbullah bin Muhammad serta semua AJK Tertinggi KRT Bukit Depu yang telah memberi kerjasama bersepadu pada pagi tersebut. Begitu juga kepada wakil pelajar dan Sekretariat Kelab Rukun Negara UDM, En.Rusdi dan kawan kawan, yang telah hadir serta memberi kerjasama bertanam pisang pada hari tersebut.

Saturday, June 5, 2010

Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan

YAB Tan Sri Muhyiddin b Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia
membuat ucapan perasmian
Majlis tersebut telah diadakan pada 21 - 23 Mei 2010 bertempat di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh Melaka. Ianya telah dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Peserta dari Terengganu sedang membuat 'checkin'

Aturcara keseluruhan sambutan minggu perpaduan bermula pada 21.5.2010 dengan ketibaan para peserta dari seluruh negara pada pukul 2.00 petang yang ditempatkan dibeberapa buah hotel di Ayer Keroh. Peserta dari Terengganu ditempatkan di Ancasa Hotel MITC . Diikuti dengan Majlis Perasmian Simposium Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan di Ballroom, Ancasa Hotel pada pukul 3.00petang . Perasmian telah dilakukan oleh YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perasmian telah dilakukan oleh YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada sebelah malam pula diadakan Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan di Exhibition B, MITC Melaka. Ianya di rasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin b Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Diantara tetamu kehormat pada malam tersebut ialah YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Diantara tetamu kehormat YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Acara kemuncak pada malam tersebut ialah peristiharan pemenang tempat pertama,kedua dan ketiga Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Cemerlang dimana KRT Negeri Terengganu telah diwakili oleh KRT Bandar Jerteh dan KRT Bukit Depu.
Pengerusi KRT Telaga Batin menerima anugerah
Dalam Kategori Anugerah Projek Ekonomi Rukun Tetangga, KRT Telaga Batin Kuala Terengganu telah mendapat tempat kedua dengan membawa pulang RM7,000. KRT Bandar Marang pula mendapat tempat ketiga dalam kategori Anugerah Pengurusan Skim Rondaan Sukarela(SRS). Dalam Anugerah Pengurusan Jiran Muda Cemerlang menyaksikan sekali lagi KRT Telaga Batin diistiharkan sebagai pemenanag tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000. Syabas.
Pada 22.5.2010 dan 23.5.2010 bermula pada pukul 8.00 pagi diadakan Simposium Tabika Perpaduan di Auditorium MITC dimana sebanyak sebelas kertas kerja telah dibentangkan merangkumi empat sesi selama dua hari.
Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din(ISM), Prof Tukiman Suandi(UKM), En Kamal Affandi Hashim (MCPF) Dua peserta KRT Bukit Depu

Pada tarikh yang sama bertempat di Grand Ballroom MITC pula, diadakan Simposium Rukun Tetangga dimana sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan. Diantara pembentang kertas kerja tersebut ialah Dato' Mohamad Dahan b Latif, En Abd Rahim b Mohd Noor - Timb Ketua Pengarah MAMPU, En Abd Aziz Md Nor - SUB NKRA Jenayah, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din(ISM), Prof Tukiman Suandi(UKM), En Kamal Affandi Hashim (MCPF), Prof Mansor b Mohd Noor(UKM), Prof Madya Dr Zaid b Ahmad dan Prof Dr Suresh Kumar Govind.

.

Wakil KRT Bukit Depu menerima anugerah dari YB Senator T. Murugiah

Pada malam pula diadakan Majlis Makan Malam Setulus Kasih Seiring Budi 1 Malaysia di Exhibition B, MITC Melaka yang dihoskan oleh kerajaan Negeri Melaka. Ia nya telah dirasmikan oleh YB Dato' T Murugiah, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri. Pada majlis ini juga diadakan pemyampaian Saguhati Anugerah(tempat keempat hingga ketujuh) Anugerah Pengurusan RT Cemerlang, Anugerah Projek Ekonomi RT, Anugerah Pengurusan SRS dan Anugerah Pengurusan Jiran Muda Cemerlang. KRT Bukit Depu telah mendapat tempat keenam dalam Kategori Pengurusan RT Cemerlang. Kami tetap berbangga dan tak mungkin akan pandang kebelakang lagi.

Bergambar kenangan bersama En Khalil

Kami ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Kerja Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2010 diatas layanan dan kemesraan yang ditunjukan selama tiga hari kami berada disana terutama sekali kepada En Khalil b Ahmad, Mantan Pengarah JPNIN Terengganu yang tak putus putus menyapa kami setiap kali berjumpa dan diatas kesudian bergambar dengan kami. Sebenarnya itu sifat beliau yang kami kenali.

Majlis Makan Malam Dan Kesyukuran KRT Bukit Depu 2010

Satu jamuan makan malam ala barat (westernised) telah diadakan pada 12.5.2010 di rumah En Nordin bagi meraikan AJK Tertinggi dan Jiran Wanita diatas sumbangan bakti serta kerja kuat dan semangat perpaduan yang ditunjuk oleh kesemua dalam menjayakan program yang dirancang.

Ucapan alu aluan oleh Tn Hj Dol

Sehingga bulan Mei, 2010, KRT Bukit Depu telah berjaya mengadakan lapan program kesemuanya. Ianya telah mendapat sambutan baik oleh penduduk setempat. KRT Bukit Depu juga telah terlibat secara langsung dengan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Terengganu (JPNIN ) dalam beberapa acara penting. Salah satu dari acara tersebut ialah penglibatan bersama dalam perarakan Maulud Nabi , dan juga dilantik menganggotai jawatankuasa persembahan dalam ‘Majlis Jalinan Mesra Perpaduan’ yang diadakan pada 3.5.10.

Pn Hjh Norma membuat ucapan balas

Diperingkat Kebangsaan pula KRT Bukit Depu telah dicalonkan untuk bertanding dalam kategori Pengurusan RT bersama enam lagi KRT dari seluruh negara dimana pemenangnya akan diumumkan pada malam ‘Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan ‘ yang akan diadakan di Melaka International Trada Centre (MITC) Ayer Keroh Melaka pada 21.5.2010. Perasmian akan dilakukan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Para tetamu sedang menjamu selera

Diantara tetamu istimewa yang hadir pada malam tersebut ialah Puan Hjh Norma bt Mohd Noor, Pegawai JPNIN Daerah Kuala Terengganu dan juga Ybg Dato’ Hj Che Mat bin Jusuh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk. Semua AJK ingin mengucapkan ribuan kasih kepada semua tetamu yang hadir. Juga kepada Pengerusi Tn Hj Dol Razlan diatas penyediaan menu istimewa ‘chicken chop special’ dan ‘mushroom soup’ pada malam tersebut- ‘its plate licking good’