Saturday, June 5, 2010

Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan

YAB Tan Sri Muhyiddin b Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia
membuat ucapan perasmian
Majlis tersebut telah diadakan pada 21 - 23 Mei 2010 bertempat di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh Melaka. Ianya telah dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Peserta dari Terengganu sedang membuat 'checkin'

Aturcara keseluruhan sambutan minggu perpaduan bermula pada 21.5.2010 dengan ketibaan para peserta dari seluruh negara pada pukul 2.00 petang yang ditempatkan dibeberapa buah hotel di Ayer Keroh. Peserta dari Terengganu ditempatkan di Ancasa Hotel MITC . Diikuti dengan Majlis Perasmian Simposium Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan di Ballroom, Ancasa Hotel pada pukul 3.00petang . Perasmian telah dilakukan oleh YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perasmian telah dilakukan oleh YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada sebelah malam pula diadakan Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan di Exhibition B, MITC Melaka. Ianya di rasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin b Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Diantara tetamu kehormat pada malam tersebut ialah YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Diantara tetamu kehormat YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Acara kemuncak pada malam tersebut ialah peristiharan pemenang tempat pertama,kedua dan ketiga Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Cemerlang dimana KRT Negeri Terengganu telah diwakili oleh KRT Bandar Jerteh dan KRT Bukit Depu.
Pengerusi KRT Telaga Batin menerima anugerah
Dalam Kategori Anugerah Projek Ekonomi Rukun Tetangga, KRT Telaga Batin Kuala Terengganu telah mendapat tempat kedua dengan membawa pulang RM7,000. KRT Bandar Marang pula mendapat tempat ketiga dalam kategori Anugerah Pengurusan Skim Rondaan Sukarela(SRS). Dalam Anugerah Pengurusan Jiran Muda Cemerlang menyaksikan sekali lagi KRT Telaga Batin diistiharkan sebagai pemenanag tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000. Syabas.
Pada 22.5.2010 dan 23.5.2010 bermula pada pukul 8.00 pagi diadakan Simposium Tabika Perpaduan di Auditorium MITC dimana sebanyak sebelas kertas kerja telah dibentangkan merangkumi empat sesi selama dua hari.
Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din(ISM), Prof Tukiman Suandi(UKM), En Kamal Affandi Hashim (MCPF) Dua peserta KRT Bukit Depu

Pada tarikh yang sama bertempat di Grand Ballroom MITC pula, diadakan Simposium Rukun Tetangga dimana sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan. Diantara pembentang kertas kerja tersebut ialah Dato' Mohamad Dahan b Latif, En Abd Rahim b Mohd Noor - Timb Ketua Pengarah MAMPU, En Abd Aziz Md Nor - SUB NKRA Jenayah, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din(ISM), Prof Tukiman Suandi(UKM), En Kamal Affandi Hashim (MCPF), Prof Mansor b Mohd Noor(UKM), Prof Madya Dr Zaid b Ahmad dan Prof Dr Suresh Kumar Govind.

.

Wakil KRT Bukit Depu menerima anugerah dari YB Senator T. Murugiah

Pada malam pula diadakan Majlis Makan Malam Setulus Kasih Seiring Budi 1 Malaysia di Exhibition B, MITC Melaka yang dihoskan oleh kerajaan Negeri Melaka. Ia nya telah dirasmikan oleh YB Dato' T Murugiah, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri. Pada majlis ini juga diadakan pemyampaian Saguhati Anugerah(tempat keempat hingga ketujuh) Anugerah Pengurusan RT Cemerlang, Anugerah Projek Ekonomi RT, Anugerah Pengurusan SRS dan Anugerah Pengurusan Jiran Muda Cemerlang. KRT Bukit Depu telah mendapat tempat keenam dalam Kategori Pengurusan RT Cemerlang. Kami tetap berbangga dan tak mungkin akan pandang kebelakang lagi.

Bergambar kenangan bersama En Khalil

Kami ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Kerja Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2010 diatas layanan dan kemesraan yang ditunjukan selama tiga hari kami berada disana terutama sekali kepada En Khalil b Ahmad, Mantan Pengarah JPNIN Terengganu yang tak putus putus menyapa kami setiap kali berjumpa dan diatas kesudian bergambar dengan kami. Sebenarnya itu sifat beliau yang kami kenali.

Majlis Makan Malam Dan Kesyukuran KRT Bukit Depu 2010

Satu jamuan makan malam ala barat (westernised) telah diadakan pada 12.5.2010 di rumah En Nordin bagi meraikan AJK Tertinggi dan Jiran Wanita diatas sumbangan bakti serta kerja kuat dan semangat perpaduan yang ditunjuk oleh kesemua dalam menjayakan program yang dirancang.

Ucapan alu aluan oleh Tn Hj Dol

Sehingga bulan Mei, 2010, KRT Bukit Depu telah berjaya mengadakan lapan program kesemuanya. Ianya telah mendapat sambutan baik oleh penduduk setempat. KRT Bukit Depu juga telah terlibat secara langsung dengan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Terengganu (JPNIN ) dalam beberapa acara penting. Salah satu dari acara tersebut ialah penglibatan bersama dalam perarakan Maulud Nabi , dan juga dilantik menganggotai jawatankuasa persembahan dalam ‘Majlis Jalinan Mesra Perpaduan’ yang diadakan pada 3.5.10.

Pn Hjh Norma membuat ucapan balas

Diperingkat Kebangsaan pula KRT Bukit Depu telah dicalonkan untuk bertanding dalam kategori Pengurusan RT bersama enam lagi KRT dari seluruh negara dimana pemenangnya akan diumumkan pada malam ‘Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan ‘ yang akan diadakan di Melaka International Trada Centre (MITC) Ayer Keroh Melaka pada 21.5.2010. Perasmian akan dilakukan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Para tetamu sedang menjamu selera

Diantara tetamu istimewa yang hadir pada malam tersebut ialah Puan Hjh Norma bt Mohd Noor, Pegawai JPNIN Daerah Kuala Terengganu dan juga Ybg Dato’ Hj Che Mat bin Jusuh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk. Semua AJK ingin mengucapkan ribuan kasih kepada semua tetamu yang hadir. Juga kepada Pengerusi Tn Hj Dol Razlan diatas penyediaan menu istimewa ‘chicken chop special’ dan ‘mushroom soup’ pada malam tersebut- ‘its plate licking good’

Friday, May 28, 2010

Majlis Jalinan Mesra Perpaduan Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2010

Majlis ini telah diadakan pada 3hb Mei 2010 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman Kuala Terengganu. Ianya dianjurkan bersama Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Kuala Terengganu bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu serta Kawasan Rukun Tetangga daerah Kuala Terengganu.
Diantara objektif nya adalah untuk meningkat kesedaran rakyat tentang betapa pentingnya perpaduan negara dipelihara dan dikekalkan bagi membentuk sebuah negara yang harmoni.
  • Membangkit kesedaran dikalangan masyarakat supaya menjadi elemen perpaduan sebagai teras dalam setiap tindakan dan interaksi mereka berpandukan kepada semangat hormat menghormati, bekerjasama, bermuafakat serta bertoleransi.
  • Menyediakan ruang peluang dan suasana merangsang masyarakat berinteraksi dalam program dan aktiviti yang dianjurkan JPNIN, mahupun KRT bersama badan NGO yang lain.
  • Memperkukuhkan semangat perpaduan integrasi dan intra kaum yang menjadi tonggak pemangkin kesejahteraan negara dan mengeratkan hubungan silaturahim diantara satu sama lain.
  • Mewujudkan semangat kekeluargaan dan kejiranan yang harmoni serta gemilang dan terbilang.

Lima KRT Daerah Kuala Terengganu telah dipilih bagi menduduki Jawatankuasa Kecil bahagian persembahan yang ditubuhkan. Diantara KRT tersebut ialah KRT Telaga Batin, KRT Permin Jaya, KRT Kawasan Bandar dan KRT Bukit Depu.

Para tetamu menyambut ketibaan YB Dr A Rahman Mokhtar

Diantara tetamu pada malam tersebut ialah YB Dr A Rahman b Mokhtar - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu.Tn Hj Wan Nawawi b Wan Ismail - Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Penghulu Mukim dan Pengerusi JKKK.

Majlis dimulakan dengan ketibaan YB Dr A Rahman dan ikuti nyanyian lagu Negara Ku dan 1Malaysia. Tayangan slaid 'Maklumat Dan Pencapaian KRT Daerah Kuala Terengganu' telah diadakan selepas itu. Slaid ini diantara lain memaparkan kegiatan yang dijayakan oleh KRT Daerah Kuala Terengganu sepanjang 2008 - 2009. KRT Bukit Depu diberi kepercayaan bagi menyedia dan menyiapkan bahan bahan untuk persembahan slaid tersebut. Ia nya telah dilakukan dengan jayanya. Seterusnya Jamuan Makan, diiringi persembahan kebudayaan oleh belia belia Kawasan Rukun Tetangga Telaga Batin.

Pengarah JPNIN Terengganu membuat ucapan alu aluan

Selepas itu dilkuti penyampaian Sijil Skim Rondaan Sukarela (SRS) baru Daerah Kuala Terengganu. Sebanyak sembilan KRT menerima sijil penubuhan skim tersebut. Diantara penerima ialah:

  • KRT Taman Perumahan Gong Badak
  • KRT Taman Katong Jaya
  • KRT Seri Losong
  • KRT Kg Baru Seberang Takir
  • KRT Taman Perumahan Wakaf Tengah
  • KRT Mengabang Telung
  • KRT Gong Kijang
  • KRT Kubang Ikan
  • KRT Seri Kolam

Kemuncak pada malam tersebut ialah Penyampaian Cek Tuntutan Takaful Kematian Akibat Kemalangan kepada pewaris anggota SRS KRT Alor Jambu - Allahyarham En Zaki b Awang.

Friday, May 14, 2010

Kursus Teknologi Fertigasi

Tahun 2010 merupakan tahun amat bermakna bagi Jiran wanita Bukit Depu kerana pada 8.5.2010 hingga 9.5.2010 seramai 6 orang ahli telah dipilih bagi menghadiri satu kursus pertanian dalam bidang teknologi fertigasi.
Pendedahan teknik moden menggunakan Sistem Fertigasi kepada umun dapat membuka minda dan peluang kepada penduduk setempat. Kaedah tanpa mengguna tanah amat lah sesuai kepada penduduk bukit depu kerana kita dikelilingi oleh bukit.
6 orang peserta dari KRT Bukit Depu telah di pilih menghadiri kursus tanaman secara Fartigasi yang diadakan di pejabat peladang kawasan Kuala Terengganu. Mereka terdiri dari Pn. Fatimah bt Besar, Pn. Piah bt Mohamad Amin, Pn. Matnah bt. Jambul, Pn. Khitijah Omar, Pn. Salbiah bt Ngah dan Khalid b Yaccob.
Bilangan peserta kesemuanya seramai 80 orang. Program Kursus Fertigasi ini dirasmi Oleh En. Shammodin bin Abd. Halim Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan penceramah kursus Prof. Dr. Mahamud Shahid dari pusat promosi dan Pembangunan Teknologi Ibu Pejabat Mardi . Tema : “PERTANIAN MENJANA EKONOMI NEGARA “ Pengenalan : 1. Fertigasi adalah sistem pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah . Umunnya hanya kepada beberapa jenis sayur dan buah sahaja seperti tomato, cili merah, timun, zukini, terong, rockmelon,dan strawberi. Kaedah ini dapat mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar dan penyakit layu bacteria yang di bawa oleh tanah. 2. Medium tanaman yang paling banyak di gunakan ialah “coco peat” iaitu habuk sabut kelapa . 3. Sistem Fertigasi boleh mengurangkan kos operasi, penggunan air dan baja berbanding dengan cara-cara lain. Objektif 1. Dapat mendedahkan dan memberi pengetahuan serta garis panduan yang lengkap dan kemaskini tentang penggunaan teknologi secara fertigasi bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang terpilih kepada jiran wanita Bukit Depu dan amnya penduduuk setempat. 2. Mengenalpasti maklumat asas dalam penanaman secara fertigasi. 3. Pengurusan dan cara –cara menghapuskan serangga perosak dan penyakit. 4. Penggunaan / kaedah pembajaan.

Saturday, May 8, 2010

Lawatan Panel Hakim Anugerah Kualiti RT Dan Tabika Perpaduan 2010

Tahun 2010 merupakan tahun amat bermakna bagi JPNIN Negeri Terengganu kerana enam KRT Negeri tersebut telah dicalonkan dalam lima kategori diperingkat kebangsaan. KRT Bukit Depu telah dicalonkan dalam kategori Pengurusan RT bersama sama KRT Bandar Jerteh. KRT Telaga Batin pula dicalonkan dalam dua kategori iaitu Projek Ekonomi RT dan Jiran Wanita. Manakala KRT Pengkalan Berangan dalam kategori Skim Rondaan Sukarela(SRS) dan KRT Teluk Lipat Dungun - Pengurusan Tabika Perpaduan.
Tanggal 3hb Mei 2010 merupakan satu detik penuh bersejarah bagi KRT Bukit Depu. Kerana pada tarikh tersebut satu rombongan penilai dari ibupejabat datang berkunjung ke daerah Bukit Depu bagi membuat penilaian terhadap pencapaian Pengurusan RT yang dilaksanakan oleh KRT Bukit Depu.

Rombongan yang dianggotai seramai lima orang penilai diketuai oleh En Ho Khek Hua, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Pn Hjh Rahmah bt Hj Ismail, En Asrul Ependi b Abdullah dan Pn Zumaiza bt Wan Mustafa dari Jabatan Arkib Negara selaku urusetia. Sebagai tanda kesepakatan, ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi KRT Bukit Depu dan semua AJK yang terdiri dari semua cabang, Jiran Wanita, Jiran Usia Emas, Tunas Jiran, Jiran Muda dan Ahli SRS KRT Bukit Depu.
Panel Hakim (L-R) Pn Wan Zumaiza, Pn Hjh Rahimah, En Ho dan EnAsrul Apendi
Turut sama memeriahkan majlis ialah Ybhg Dato' Hj Che Mat b Jusoh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, En Shaharuddin Ismail, Penghulu Mukim Bukit Besar, En Mohamad Ismail, Pengerusi JKKK Kg Bukit Depu, dan wakil dari Kontigen Polis Daerah Kuala Terengganu. Turut sama pegawai dari JPNIN Negeri Terengganu yang diketuai oleh Pengarah En Tukimin Sarlan.

'' Dalam masa 3 tahun 4 bulan, KRT Bukit Depu telah mencapai ketahap ini , satu pencapaian yang sungguh membanggakan" begitulah kata Ketua panel hakim, En Ho. Sebenarnya kerja kerja menyempurnakan persiapan mengikut keperluan garispanduan yang disyaratkan oleh JPNIN lebih merupakan perkara yang amat memakan masa serta menimbulkan ketegangan. Kerja keras yang ditunjukkan oleh Setiausaha Tn Hj Khalid Yaacob adalah pemangkin kesempurnaan , serta 'good teamwork' yang berlaku pada saat saat akhir adalah satu anugerah yang sukar untuk tidak diucapkan syukur.

Penyampaian cenderahati kepada sebahagian jemputan oleh Pengerusi KRT Bukit Depu

Sokongan serta kerjasama khasnya dari Pn Hjh Norma Mohd Noor dan pegawai pegawainya dari Jabatan Perpaduan Daerah Kuala Terengganu serta Pegawai dari JPNIN Negeri seperti En Asronizam , Pengerusi KRT Gong Baru En Hanafiah yang lebih dikenali dengan panggilan Pok Chu begitu banyak membantu serta membuka ruang kesulitan dan tekanan.

KRT Bukit Depu mengucapkan ribuan terima kasih serta kalungan budi kepada Ybg. Dato’ Hj Che Mat bin Jusoh dan juga wakil Pelajar UDM Terengganu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Sangsura, semua anak mukim, mereka yang telah memberi sokongan serta turut hadir pada majlis tersebut. Kepada Pengerusi Majlis , Tn Hj Harun Mohd Diah dan Pengerusi Tunas Jiran Cikgu Nasir yang terpaksa bercuti walaupun itu satu tugas berat kerana tanggungjawab sebagai pendidik yang tidak ada pengganti jika bercuti , telah mengorbankan waktu sebilangan pelajar , KRT Bukit Depu turut merasakan terharu serta memohon maaf serta berterima kasih. Sesungguhnya kerja kerja perpaduan masyarakat menuntut banyak pengorbanan , persefahaman ikhlas yang kadang kadang agak sukar buat dibahagikan sebagai keutamaan. Beginilah yang terjadi dalam KRT Bukit Depu. Sebagaimana yang dibandingkan oleh Pengerusi KRT Bukit Depu dalan ucapanya " seperti sebuah negara Vietnam yang terlalu menghambat kemajuan."

Panel Hakim Membuat Lawatan Kawasan Kelolaan KRT Bukit Depu

Thursday, April 1, 2010

Hari Gabungan Kasih Sekretariat Rukun Negara UDM Bersama KRT Bukit Depu

1. Perlaksanaan Bumi Hijau KRT Bukit Depu Dengan Anjuran Bersama Sekreteriat Rukun Negara UDM Terengganu dan kerjasama Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Sangsura Kuala Terengganu pada 26.3.2010.
Slide show Program Gabungan Kasih Sekretariat Rukun Negara UDM Bersama KRT Bukit Depu
Perjalanan ke KRT Bukit Depu pagi 26 Mac 2010 terasa asing, kerana cuaca yang mendung dan sejuk.. Masih pagi dan dara embun yang belum kekeringan didaunan , walaupun jam sudah pukul 8.30 pagi , masih sejuk mengilukan.
Kami seramai 97 orang , 90 siswi dan 7 orang siswa dari rombongan Sekreteriat UDM Terengganu disambut oleh Pengerusi KRT dan Setiausaha sewaktu sampai didataran Pos kawalan Taman Sangsura dimana aktiviti-aktiviti Hari Gabungan Kasih akan dilaksanakan sepanjang hari tersebut.Nampak peralatan serta kanopi kerusi meja dan p.a sistem dipasang rapi..tak ramai penduduk yang ada melainkan nama-nama yang disebutkan tadi..termasuk Pengerusi Penduduk Kebajikan Taman Sangsura Tn Hj Ab Manan Hasan, Tuan Fauzan Bin Mohd Pengarah Bomba Negeri Terengganu , En Muhamad Fauzan bin Anuar , Penolong Pegawai Tadbir , Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UDM ,serta Pegawai dari Dewan Bandraya Kuala Terengganu ,En Bob dan Pengerusi JKKK Bukit Depu En Mohd bin Ismail.

Seramai 50 orang anak mukim akan terlibat dalam program bumi hijau dan treasure hunt pada sebelah petang nanti . Dalam mesej ucapan Pengerusi KRT Bukit Depu , mengatakan ,"..hasrat mengadakan program Hari Gabungan Kasih ialah bagi memperdekatkan nilai perpaduan dikalangan warga siswa/siswi dengan anak mukim dalam konteks kekeluargaan , kerjasama , persefahaman disamping mengamalkan kerja-kerja amal seperti perlaksanaan bumi hijau yang diharapkan memberi kebaikan jangka panjang kepada kedua dua belah pihak.Walaupun ini bukanlah satu permulaan yang lengkap kerana masih banyak kekurangan dari aspek persiapan serta teknikal , tapi dengan perlaksanaan bumi hijau hari ini adalah diharapkan akan bermulalah satu sejarah konsep pertanian dalam taman yang boleh memberi faedah kecantikan , keperluan asas tani,laman yang harmoni dan bersepadu antara tumbuhan yang boleh dimakan dan tanaman hiasan disamping mewujudkan masyarakat Taman Sangsura yang bersedia dipertanggungjawabkan menjaga persekitaran kediaman komuniti masing-masing."

En Mohamad Fauzan , Penolong Pegawai Tadbir , Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UDM, berpesan " ...adalah diharapkan semua siswa / siswi yang terlibat pada hari ini , dapat mengambil kesempatan dari peluang yang ada dalam memperkayakan pengalaman mendampingi masyarakat , memahami segala mesej perpaduan serta menghargai perhubungan yang amat bermakna ini.Peluang sebegini tambah beliau , bukanlah selalu ada dan dapat dilaksanakan dengan sebaik ini." Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK Tertinggi KRT Bukit Depu diatas kesudian menjemput Sekrt. Rukun Negara UDM Terengganu kerana program anjuran bersama yang cukup bermakna ini. Beliau seterusnya merasmikan pembukaan Hari Gabungan Kasih dan pelancaran Bumi Hijau anjuran bersama KRT Bukit Depu dan Sekrt Rukun Negara UDM Terengganu serta kerjasama Persatuan Penduduk Kebajikan Taman Sangsura 2010 yang penuh bersejarah.

Apa yang menyeronokkan kami semua ialah hidangan makanan yang cukup simple tapi memuaskan sebagai pengalaman yang takkan kami lupakan , sebelah pagi dengan hidangan mee goreng hailam dan makan tengah hari masakan ayam gulai kawah , buahan buahan , sayur kacang , yang menjadi kebanggan penduduk diKRT Bukit Depu.Bukan makanan yang menjadi soalnya tetapi layanan yang diberikan oleh seluruh warga KRT yang amat menyentuh hati. Walaupun itulah kali pertama kami di sana selama satu hari,tetapi nilai kasih sayang yang diberikan umpama menatang minyak yang penuh. Tidak terbalas dek kami. Semoga ianya menjadi memori yang indah dan kekal abadi sebagai penyuluh kehidupan.Terima kasih kepada seluruh warga KRT tidak kiralah yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program Hari Gabungan Kasih.
2.‘Treasure Hunt’ Dalam Konsep Perpaduan DiKRT Bukit Depu 26.3.2010.
Selepas makan tengah hari kami seramai 97 siawa/siswi telah ditempatkan dirumah keluarga angkat secara berkumpulan.Seramai 11 keluarga angkat diTaman Sangsura yang takkan kami lupakan ialah :-
1.Rumah Pengerusi KRT Tn Hj Dol Razlan dan keluarga 2.Rumah Timbalan Pengerusi KRT Tn Hj Ab Manan dan keluarga 3.Rumah Prof.Dr Hasbullah dan keluarga 4.Rumah Cikgu Romi dan keluarga 5.Rumah En Abu Bakar dan keluarga 6.Rumah Cikgu Asri dan keluarga 7.Rumah Tuan Pauzan Mohamad dan keluarga 8.Rumah En Nordin dan keluarga 9.Rumah Puan Mariam dan keluarga 10.Rumah En Mohd Nor dan keluarga 11.Rumah Cik Fatimah
Mereka adalah keluarga keluarga angkat yang penyayang , baik yang akan kami kunjungi dimasa akan datang jika ada masa dan peluang.

Program Treasure Hunt yang bermula pada jam 3.00 ptg dan berakhir jam 5.00 ptg sungguh menyeronokkan dengan penglibatan dari anak mukim dan setiausaha sendiri Tn Hj Khalid dan Puan Zaidah dan Puan Ramlah dari Jiran Wanita.Seramai 12 kumpulan melibatkan 10 orang dalam satu kumpulan yang digabungkan diantara pelajar dan penduduk mukim mengambil bahagian.Empat kumpulan terbaik yang terbaik dari segi masa , kreativiti ,semangat berkumpulan ,bermotivasi telah terpilih dan menerima hadiah.Walaupun bukan hadiah yang kami cari tapi kemesraan serta semangat kekeluargaan yang terdapat dikalangan anak mukim sungguh menyentuh hati , paling menyeronokkan dan kelakar Tuan Hj Khalid bukan sahaja cekap mengendalikan kerja kerja memasak didapur tetapi juga seorang yang cukup memahami serta tinggi nilai budinya. Memang benarlah seperti kata Pengerusi dalam ucapan beliau sebagai juru acara dalam majlis penutup majlis mengatakan bahawa " Treasure Hunt yang diadakan ini semata mata mencari hikmah perpaduan dan team work dalam konteks semangat kekeluargaan kerana Allah." Timbalan Pengerusi KRT Bukit Depu Tn Hj Ab Manan Hasan dalam ucapan menyebut KRT Bukit Depu sentiasa berharap semangat perpaduan seperti yang diamalkan hari akan berterusan dan terjalin rapat dikedua belah pihak buat selama lamanya.Dan KRT Bukit Depu ini adalah KRT yang paling aktif dinegeri ini dalam menjalankan aktiviti-aktiviti perpaduan seperti ini.

Wakil dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional NegeriTerengganu, En.Kamarudin bin Hj Deraman mengucapkan syabas kepada KRT Bukit Depu serta berharap " ..peranan yang dimainkan ini memberi harapan yang baik dalam merangkumi hadiah KRT Dan Pengurusan Terbaik yang akan dipertandingkan diperingkat Nasional nanti." Beliau juga mencabar Presiden SRN UDM yang baru En Mohd Isa bin Mohd Yusof agar menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang seperti yang telah dibuktikan oleh mantan Naib Presiden SRN UDM yang lalu Cik Siti Adawiyah bt Mohd Fadzir.

Dalam ucapan perasmian penutupan majlis , Ybg Dato’ Hj Che Mat Jusuh menyebut bahawa "KRT Bukit Depu telah meletak nama KRT diDaerah Kuala Terengganu khususnya di DUN Batu Buruk sebagai KRT yang terbaik dan sungguh membanggakan dan beliau menyatakan kekaguman bagaimana KRT Bukit Depu dapat membawa orang orang bijak pandai dari UDM Terengganu dalam jumlah yang sebesar ini menyertai program diperingkat kampung seperti ini." Majlis berakhir dengan penyampaian sijil penyertaan , hadiah hadiah serta replika kenang-kenangan dari KRT untuk para vip , peserta .

KRT Bukit Depu sesungguhnya kami masih merindui mu.

Mantan Naib Presiden SRN UDM TERENGGANU