Saturday, February 18, 2012

Ramuan Perpaduan

Walaupun perpaduan sering dilaung-laungkan, tetapi kekerapan kita menyebutnya masih belum upaya untuk menterjemahkannya. Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah masalah sebenarnya. Apakah ini disebabkan kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perpaduan atau kita sudah tahu tetapi sengaja tidak mahu bersatu?
Perpaduan melibatkan soal jiwa bukan harta. Allah swt mengingatkan: "Jika kamu membelanjakan seluruh yang ada dimuka bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allah swt lah yang menjinakan hati antara hati-hati mereka."

 "(Surah al-Anfal 8:63)
Oleh sebab itu, jika ingin menyatukan manusia maka hati mereka perlu terlebih dahulu dijinakkan. Kemampuan ini hanya ada pada Allah swt. Hati dijinakkan dengan dikenalkan kepada Allah dan dididik untuk mencintai-Nya. Ini ialah persoalan iman dan inilah soal asas dan teras dalam  perpaduan.             
Perpaduan menyusul selepas iman. Iman adalah prasyarat yang membawa kepada perpaduan.Tanpa iman atau lemah iman, perpaduan akan berantakan. Jika pun berlaku perpaduan itu hanya bersifat tempelan. Perpaduan yang sedemikian dinyatakan Allah menerusi firman-Nya: "Kamu menyangka mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah belah."

(Surah al-Hasyr 59:14)
Tegasnya, perpaduan mestilah bermula dari hati yang berasaskan iman sejati. Tanpa iman, tidak mustahil bangsa dan agama menjadi topeng bagi melindungi kepentingan peribadi. Dengan iman, manusia akan berasa takut kepada Allah, gerun akan neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Inilah yang akan menghalang manusia dari melakukan kemungkaran dan kejahatan. Iman akan memberikan kekuatan untuk melawan hawa nafsu. Dengan ini sifat sifat buruk (mazmumah) yang berpunca dari kerakusan nafsu yang menjadi penghalang perpaduan dapat diatasi.
Seterusnya mesti diperjelaskan dulu apakah tujuan perpaduan itu? Jawapannya, ia berkait rapat dengan tujuan hidup manusia. Apakah tujuan hidup manusia.
Pertama, menjadi hamba Allah swt. Firman Allah yang bermaksud: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada ku" (Surah al-Dhariyat 51:56)
Kedua, menjadi khalifah di muka bumi. Firman Allah yang bermaksud: "Aku jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi." (Surah al-Baqarah 2:30)
Daripada kedua dua ayat al- Quran tersebut jelaslah tujuan perpaduan adalah untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah dimuka bumi. Sebagai hamba Allah, manusia mesti patuh dan setia kepada Allah pada setiap masa, tempat dan keadaan. Manakala sebagai khalifah, manusia mesti menyusun semua bidang dalam hidupnya berasaskan peraturan Allah.
Dua tujuan hidup ini tidak akan mampu ditegakkan secara bersendirian melainkan perlukan perpaduan. Oleh sebab ini matlamat perpaduan sepatutnya difokuskan untuk menegakkan sistem hidup Islam pada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Allah swt telah menegaskan hakikat ini dengan firman Nya yang bermaksud: "Hendaklah kamu tolong menolong dalam soal kebaikan dan ketaatan dan jangan kamu tolong menolong dalam urusan kejahatan." (Surah al-Maidah 5:2)
Dengan ini manusia akan bersama sama menegakkan hukum hakam Allah, yakni sama sama menegakkan lima hukum; wajib, sunat, haram, makruh dan harus dalam kehidupan. Dan ini secara langsung akan membentuk keluarga, masyarakat, organisasi dan umat yang bersatu padu. Ramuan perpaduan ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya yang bermaksud: "Hendaklah kamu berpegang pada tali Allah (hukum Allah) seluruhnya dan janganlah kamu berpecah belah."(Surah Ali 'Imran 3:103)

Jika penegakan hukum Allah dalam bidang fardu ain menjadikan kita membangun dari segi rohani, perlaksanaan fardu kifayah pula akan menjadikan kita kuat dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial budaya dan lain lain lagi. Lihat, walaupun tujuan asal hanya untuk cinta dan patuh kepada Allah, tetapi perpaduan dan pembangunan akan tercetus sebagai impaknya. PETIKAN DARI MAJALAH SOLUSI OLEH MUHAMMAD JIHAD

Sunday, February 5, 2012

Salam MaulidulRasul 1433


Kami seluruh AJK KRT Bukit Depu mengucapkan Selamat Menyambut Maulidul Rasul kepada semua pengunjung laman blog ini.