Monday, February 18, 2013

Berita KRT Bersebelahan


Bersatu kawal keselamatan.

Ketika jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam, seorang remaja bersiap-siap untuk keluar rumah. Selepas mendapat izin daripada orang tuanya, barulah Mohd Nasrullah Usok melangkah keluar meninggalkan rumahnya di Kampung Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Terengganu.
Itulah rutin pada setiap malam minggu bermula awal tahun ini dalam kehidupan Mohd Nasrullah. Walaupun baru berusia 15 tahun, namun faktor umur tidak menghalangnya untuk bergaul dengan orang dewasa demi menjaga keselamatan kampung.
Tidak seperti kebanyakan rakan sebaya lain yang lebih gemar menghabiskan malam minggu dengan aktiviti kurang berfaedah seperti melepak atau bersiar-siar, Mohd. Nasrullah memilih untuk berganding bahu dengan penduduk kampung membuat rondaan pada waktu tengah malam.
"Saya seronok terlibat dalam kegiatan sukarela seperti ini. Daripada membuang masa tidak tentu hala pada setiap malam minggu, lebih baik saya ikut orang dewasa menjaga keselamatan kampung.
"Lagipun, bukan saya seorang sahaja yang remaja. Ada seorang lagi kawan saya yang turut sama dalam rondaan ini," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam itu ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Menurut Mohd. Nasrullah, biasanya dia dan rakannya akan ditemani orang yang lebih dewasa setiap kali menjalankan rondaan di sekitar kampung.
"Setakat ini, saya tak pernah jumpa benda-benda pelik atau menakutkan sepanjang melakukan rondaan. Namun, saya pernah terserempak dengan penagih dadah yang cuba melarikan diri ke dalam hutan sebaik sahaja terserempak dengan kami," katanya.
Juriah Salleh, 57, yang turut terlibat dalam aktiviti itu pula, berkata, sebelum rondaan dilakukan, dia dan sekumpulan penduduk wanita dari kampung itu akan menyediakan makanan dan minuman khusus untuk peronda kampung.
"Biasanya, kami akan bergilir-gilir memasak dan menyediakan makanan untuk mereka. Ada kalanya, kami juga akan menyertai rondaan jika diperlukan," katanya yang telah 18 tahun menetap di kampung itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail memberitahu, penduduk kampung berkenaan sepakat melaksanakan pelbagai gerak kerja kemasyarakatan termasuk memelihara keharmonian kampung mereka.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu berkata, walaupun rondaan hanya dijalankan pada setiap malam Khamis dan Jumaat iaitu waktu untuk mereka beristirehat selepas penat bekerja, namun, komitmen yang diberi penduduk amat membanggakan.
"Kami namakan pasukan rondaan ini SRS (Skim Rondaan Sukarela). Penduduk dibahagikan kepada dua sektor dengan setiap satunya melibatkan 25 orang dan ia dilakukan secara bergilir-gilir.
"Setiap satu sektor itu pula, kita pecahkan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada lima orang dalam satu kumpulan dan mereka akan berkawal mulai pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi," ujarnya.
Tambahnya, aktiviti rondaan itu ada kalanya disertai anggota polis serta wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kami juga dibekalkan dengan peralatan tertentu termasuk walkie talkie, cota, vest, lampu suluh dan topi untuk meronda," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment