Program ini adalah lanjutan daripada
Program Bumi Hijau yang diusahakan bersama Sekretariat Rukun Negara Universiti Darul Iman Malaysia yang dilancarkan pada 26.3.2010 yang lalu. Pada ketika itu apa yang sempat dilakukan ialah kerja kerja gotong royong membersih kawasan yang dilakukan pada sebelah pagi. Tapi hari ini, 14.5.2010 hasil permuafakatan Jiran Wanita KRT Bukit Depu yang diketuai Pn Mariam Mat Ali, kawasan tersebut telah ditanam dengan 60 pokok pisang dari berbagai jenis sebagai permulaan. Kita namakan program ini sebagai
'Program Bumihijau Fasa 1.'
Longgokan benih pisang menunggu untuk ditanam
KRT Bukit Depu amat berterima kasih kepada pemilik tanah yang telah memberi izin sementara kepada kami menanam pokok pokok pisang ditanah tersebut. Puan Mariam Mohd Ali, Pengerusi Jiran Wanita telah berusaha membawa baka benih pisang yang terbaik dari jenis rastali, nangka , lemak manis dan kelat abu, dengan harapan dapat membantu menambah pendapatan KRT.
Sebenarnya kerja kerja persiapan acara perasmiam telah bermula lebih awal, dimana tapak penanaman dibersih sekali lagi, lubang lubang digali dengan jarak yang bersesuaian bagi memudahkan aktiviti penanaman. Ianya diketuai oleh Tn Hj Khalild bersama beberapa ahli AJK.
Acara perasmian pada pagi bersejarah itu bermula dengan ucapan alua aluan yang disampaikan oleh Pengerusi KRT Bukit Depu, Tn Hj Dol Razlan. Beliau menegaskan dalam ucapan pelancaran pagi tersebut, "konsep pertanian dalam taman banyak memberi faedah dari aspek kecantikan, keperluan asas tani, laman yang harmoni dan bersepadu diantara tumbuhan yang boleh dimakan dan tanaman hiasan , apatah lagi boleh menjana pendapatan kepada KRT. Ianya perlu dilakukan secara terancang dan penuh muhibah."
Puan Hjh Norma Mohd Noor dalam ucapan perasmianya pula mengucapkan "syabas kepada Pengerusi Jiran Wanita, Pn Mariam khasnya dan warga kerja KRT Bukit Depu amnya , kerana walaupun tidak memiliki tanah tapi usaha merealisasikan projek bumi hijau dengan bermula tanaman pisang dikawasan taman secara kelompok seperti ini belum pernah diadakan."
Seterusnya acara simbolik dimana Tn Hj Dol telah menyerahkan sebatang anak pisang kepada Pn Hjh Norma bagi memulakan acara tanaman dan diikuti oleh semua yang hadir turut sama sama menanam sebatang pisang yang dibekalkan.
Majlis dengan rendah hati mengucapkan terima kepada penasihat pertanian Prof.Dr.Hj Hasbullah bin Muhammad serta semua AJK Tertinggi KRT Bukit Depu yang telah memberi kerjasama bersepadu pada pagi tersebut. Begitu juga kepada wakil pelajar dan Sekretariat Kelab Rukun Negara UDM, En.Rusdi dan kawan kawan, yang telah hadir serta memberi kerjasama bertanam pisang pada hari tersebut.