Majlis Penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad Kepada KPKKW Majlis Penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah diadakan pada 24 Disember 2008, jam 8.30 pagi. Penyerahan adalah daripada SPAZ Sdn. Bhd. Kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan seterusnya kepada KPKKW.
Bangunan Sultan Abdul Samad telah diubahsuai mulai Disember 2007 untuk dijadikan pejabat KPKKW. Sebelumnya, iaitu pada zaman penjajahan British, bangunan ini digunakan sebagai Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen Jeneral dan Pejabat Pos Besar. Selepas Merdeka ia digunakan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan sehingga tahun 1978.
Pada tahun 1978 bangunan ini menempatkan Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang serta Mahkamah Tinggi Jenayah.
Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan bangunan bersejarah yang terletak di Jalan Raja yang dahulunya dikenali sebagai Gombak Road. Sejarah penubuhannya bermula pada tahun 1893 apabila Kerajaan British di Selangor telah merancang usaha untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya.
Bangunan yang mempunyai ketinggian 57 kaki dengan keluasan 10,200 meter persegi ini telah siap dibina sepenuhnya pada 1897. Reka bentuk dan binaannya berbentuk “Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moorish. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.
Berdasarkan sejarah dan keunikan tersendiri, bangunan ini telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada 2007 yang lalu.
Pemilihan bangunan ini sebagai pejabat rasmi KPKKW amat bertepatan sekali kerana Kementerian diberikan hak untuk mentadbir dan menjadi penjaga utama keseluruhan kompleks bersejarah termasuk bangunan bangunan ini sendiri, Muzium Sejarah dan Bangunan Persekutuan yang meliputi kawasan seluas kira-kira lima ekar (dua hektar) di tengah bandar raya.
Untuk fasa pertama, terdapat lapan (8) bahagian KPKKW yang akan berpindah ke bangunan ini iaitu Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha, Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha , Bahagian Pengurusan, Unit Perhubungan Awam, Unit Undang-Undang, Unit Audit Dalam dan Perpustakaan KPKKW.