Pada 26 hb Ogos 2009 yang lalu bertempat di 4187 Taman Sangsura,21100 Kuala Terengganu, satu temu bual exlusif telah berlangsung dimana Tn Hj Dol Razlan Pengerusi KRT Bukit Depu menemubual Tuan Pauzan bin Ahmad , Pengarah Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu yang juga seorang anggota SRS KRT Bukit Depu dan juga seorang Pegawai Kanan yang pertama terlibat secara langsung dalam aktiviti skydiving atau payung terjun di Malaysia.
Beliau adalah seorang yang gigih, bermotivasi tinggi, berpegang kuat dengan ajaran Islam, sering menampilkan contoh- contoh buat dijadikan tauladan kepada pegawai bawahan serta pada kawan kawan SRS di KRT Bukit Depu.Ini tidak boleh dipertikaikan lagi oleh penduduk mukim.
Agak berusia untuk melibatkan diri dalam aktiviti lasak serta berbahaya ini oleh seorang Pengarah di Jabatan Kerajaan , tapi itulah tokoh yang istimewa ini berpegang kuat pada takdir dan peraturan serta yakin segala sesuatu itu jika dilakukan dengan sungguh sungguh,dengan ilmu serta kepercayaan kepada Allah yang satu ,sebahaya mana pun keadaan,Insyaallah ,ia boleh dilaksanakan.
Walaupun sedang bercuti sakit kerana kemalangan kecil yang menimpa beliau pada 7.8.2009 yang lalu , Tuan Pauzan Bin Ahmad dengan senang hati menyambut Pengerusi KRT Bukit Depu Hj.Dol Razlan bin Yusof (DRY) untuk diwancara bagi mengetahui dan mencari kelebihan pengalaman dan kemampuan beliau buat dikongsi bersama - sama dengan anak mukim.
Dibawah adalah petikan wawancara exklusif beliau sebagai pengajaran kepada kita semua.
DRY: Sejak bila Tuan terlibat dengan aktiviti skydiving dengan serius?
Tuan Pauzan: Sejak April 2007, iaitu mengikuti kursus asas payung terjun yang dijalankan diWakaf Tapai dan seterusnya membuat pertunjukan payung terjun sempena sambutan Hari Anggota Bomba peringkat kebangsaan yang juga diadakan di Wakaf Tapai pada bulan Mei tahun yang sama.Sejak itulah saya telah terlibat dengan secara serius.
DRY : Berapa lama Tuan menghadiri kursus asas bagi melengkapi diri sebagai seorang penerjun yang baik atau mendapat lesen..?
Tuan Pauzan: Kami diberi kursus asas selama 5 hari penuh dengan 2 hari untuk ground training dan 3 hari membuat terjunan daripada helicopter pada ketinggian 4000 kaki.Kursus ini ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan dan telah melibatkan pegawai pegawai yang berminat dan dipilih untuk menganggotai pasukan MUST (multiskill team) dan pasukan smoke jumpers bagi tujuan menghadiri insiden kecemasan yang mana jalan masuk biasa sukar atau tidak dapat dijalankan, seperti kebakaran hutan dan sebagainya..
Di negara maju saperti di Canada, pasukan smoke jumpers ni sudah lama ada dan Negara kita merupakan yang pertama di asia. Pada dasarnya terdapat 2 jenis penerjunan payung iaitu Static ram air dan free fall.
Statik ram air ialah penerjunan yang mana payung akan ditarik keluar dan terus kembang dari bag oleh tali static sepanjang lebih kurang 15 kaki yang disangkutkan pada pesawat. Bagi peserta-peserta baru cabaran yang paling besar adalah untuk melompat keluar dari pesawat diikuti cabaran untuk mendarat.
Free fall pula adalah penerjun perlu mengeluarkan payung mereka daripada bag setelah melakukan beberapa pergerakan/aktiviti semasa mereka jatuh bebas diudara. Sesorang yang hendak melakukan penerjunan Free Fall mereka perlu mahir dalam mengendalikan payung semasa diudara dan membuat pendaratan dengan selamat. Oleh yang demikian, dalam jabatan bomba dan penyelamat Malaysia telah menentukan calon free fall mestilah sekurang -kurangnya telah membuat penerjunan Statik sekurang-kurang 21 kali terlebih dahulu.
Ianya satu aktiviti yang seronok yang dapat memberi cabaran jatidiri, adventure…terbang macam burung di udara , menikmati alam dari udara.’make you feel like a real hero’…apatah lagi jika penerjun itu dapat menggunakan skil dengan penggunaan payung dengan berbagai bagai cara…ianya adalah satu aksi yang sungguh mencabar.
DRY: Tuan masih ramai yang mengatakan bahawa aktiviti skydiving ini suatu yang bahaya. Kenapa masih ramai yang terlibat dalam aktiviti ini. Apa pandangan Tuan.
Tuan Pauzan: Pada saya jika sesuatu aktiviti itu dilaksanakan dengan ilmu, kesungguhan dan keberanian serta patuh terhadap garispanduan dan peraturan yang ada, ianya akan menjadi selamat. Nak kira bahaya kalau kita membawa kereta tanpa mengikut peraturan pun banyaklah risiko yang kita akan tempuh. Kita sebagai orang islam perlu percaya pada Qada dan Qadar Allah. Jika sesaorang itu dah ditakdirkan mati dibaham singa..tak payah pergi ke Afrika pun,tapi masuk di zoo pun boleh mati kena dibaham singa, seperti yang telah berlaku di singapura. Memanglah terjun dari pesawat yang hanya mengharapkan payung dapat berfungsi dengan baik, sememangnya mengandungi risiko.
Tapi itu bukan persoalannya. Setiap tahun dunia mencatat tidak kurang 35 orang mati kerana skydiving dari 2 juta penerjunan, 46,000 orang lebih mati kemalangan jalan raya , 140 orang mati kerana diving , 850 orang mati kerana berbasikal , 80 orang mati dipanah petir..Ini adalah logik yang boleh membuktikan point adakah kita masih curiga pada perangkaan? Dulu semasa saya di Alor Setar dalam satu misi mencari orang hilang di dalam sungai.Saya pergi bersama dengan 2 orang pegawai saya.Waktu itu hari dah malam.Orang orang kampung melarang saya supaya jangan turun kesungai kerana bahaya dan haripun dah malam.Bahaya maknanya disitu lubuk buaya dan malam maknanya ,memang kawasan tu berpenunggu.
Saya cakap kat dia orang, saya datang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pasukan penyelamat yang selebihnya saya serah kepada Allah yang menentukannya. Kami turun bertiga dimalam yang gelap gelita. Air sungai waktu malam mana nampak apa apapun, bayangkanlah air sungai di alor Setar macam susu, so pakai raba sajalah untuk rasa. Pada mulanya kami rempuh kayu dan sampah sarap.kemudian kami masing-masing merasai terdapat banyak alur lebih kurang lebar dan panjang badan buaya yang bersih tanpa sampah sarap dan kotoran. Mungkin itu tempat buaya landing didasar sungai kot. Dalam saya meraba raba, terasa seperti terpegang ekor buaya.Kami selamat naik dipengkalan dengan izin Allah..terpegang ekor buaya ini dapat diperkuatkan lagi apabila berada diatas daratan, sarung tangan saya terlekat dengan lender pada badan buaya.,bukankah ini Takdir Allah namanya? Tiada siapa dari kami yang mati malam tu padahal kami semua berada dilubuk buaya..berada didalam rumah rumah mereka..tempat buaya landing..
DRY: Boleh Tuan kongsi apa yang Tuan tahu tentang ‘Night Jump’ kepada kami?
Tuan Pauzan: Macam yang saya kata skydiving ni ialah sukan lasak yang mencabar mental dan fizikal. Bukan itu sahaja ia jugak demand kepuasan. Dalam penerjunan malam tentulah berbeza dengan penerjunan siang. Penerjunan malam melibatkan banyak peralatan seperti a lighted altimeter dan audible altimeter , flash light ,visible light yang boleh dilihat dari jarak 3 batu dipakai dibawah canopy dan sebagainya. Banyak lagi jenis jenis penerjunan yang lebih mencabar dalam skydiving seperti Hit and Rock,Parachute Landing ,Swoop and Chug, Cross Country ,Tracking Jump ,Camera Flying,Stuff Jumps dan sebagainya. Saperti contohnya stuff jump , penerjun akan terjun bersama objek yang besar seperti rakit getah , kereta , motosikal dan sebagainya sambil beraksi diudara pada ketinggian tertentu.
DRY: Pada 7 haribulan Ogos yang lalu Tuan telah mengalami kemalangan kecil yang dianggap sungguh bernasib baik buat seorang penerjun kerana kecederaan ringan yang Tuan hadapi . Apakah pengajaran yang Tuan perolehi dari peristiwa ini yang dapat dikongsi bersama kami?
Tuan Pauzan: Pada saya ianya adalah satu hikmah.Kita jangan lupa sesuatu kejadian buruk yang menimpa kita selalu ada 3 mesej dari Allah. 1. Sebagai bala 2. sebagai kifarah 3.Untuk meningkatkan martabat kita.
Sebelum kejadian saya telah membuat beberapa penerjunan yang melibatkan hook and turn pada ketinggian yang rendah sebelum membuat pendaratan. Semasa hook and turn, kadar kejatuhan adalah tinggi dan ianya juga mengundang risiko yang tinggi juga.Semuanya telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Pada hari tersebut saya hendak membuat perkara yang sama pada ketinggian yang lebih rendah lagi. Oleh kerana tersilap perhitungan, saya telah terhempas pada ketinggian lebihkurang 20 kaki akibat silap perhitungan semasa membuat hook and turn pada ketinggian yang terlalu rendah. Akibatnya, tulang peha kanan saya telah mengalami patah tebu. Itu adalah yang tersurat. Apa yang tersirat, pada hari itu saya sebenarnya telah terlalu yakin pada diri sendiri, meletakan kechanggihan peralatan dihadapan dan meletakkan kekuasaan Allah dibelakang.
Pada saya ini adalah mesej yang Allah hendak sampaikan pada saya. Saya bersyukur kerana kesedaran ini disampaikan pada keadaan yang masih belum terlewat. Saya telah membuat sebanyak 35 kali penerjunan dan telah membuat berbagai aksi diudara yang menunjukkan tahap kemahiran dalam mengendalikan payung. Terjun payung merupakan extreme activities. Kalau kita tidak mampu melakukan aksi yang extreme, ianya menjadi satu kebosanan dan orang yang melihat juga merasa hambar.Saya redha dan besyukur diatas apa yang terjadi berharap keadaan akan cepat sembuh dan berhajat akan meneruskan penerjunan bagi mendapatkan lesen Free Fall. Ini adalah juga sebagai suntikan semangat kepada pegawai pegawai saya yang terlibat dalam bidang skydiving ini khususnya dan dalam bidang bidang lain amnya.
DRY: Tuan telah menceburi bidang skydiving sejauh ini dan telah melalui banyak perkara yang sukar, apakah Tuan tidak mendapat apa apa halangan dari keluarga Tuan?
Tuan Pauzan: Pada peringkat awal memang ada.Tapi sebagai ahli keluarga yang telah diberi pemahaman tentang kedudukan sebenar aktiviti skydiving ini , mereka sekarang telah memahami dan tidak ada apa apa masaalah lagi.
DRY: Apakah Tuan akan menghalang jika ada ahli keluarga Tuan menuruti jejak yang sama saperti Tuan?
Tuan Pauzan: Sama sekali tidak.Saya tidak melarang atau menyuruh.Terpulang kepada mereka membuat keputusan bidang apa yang mereka suka.Jika bidang yang sama yang mereka pilih , InsyaAllah pengalaman yang saya ada ini akan saya gunakan sebaik mungkin membimbing mereka .
DRY: Pada pandangan Tuan, bagaimanakah kedudukan masa depan aktiviti skydiving di Malaysia.
Tuan Pauzan: Aktiviti skydiving di Malaysia ini telah lama ada .Cuma ia dilakukan oleh pihak Tentera,Polis ,Komando hanya sejak kebelakangan ini baru Bomba Penyelamat Malaysia .Badan badan swasta saya dengar telah banyak membuka kelas latihan kepada penerjun penerjun muda yang suka pada sukan lasak. Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal tapi bilangan peserta semakin bertambah dari hari kesehari. Bukan itu sahaja malah kaum wanita pun ada yang menceburi . Ini satu perkembangan yang baik dan satu bidang baru yang mula berkembang dengan pesat dinegara ini. ini memanglah berbeza jika dibandingkan dengan negara barat yang telah melakukannya sejak dahulu lagi.
Saya percaya satu masa nanti pertunjukan payung terjun pada musim- musim perayaan bukan lagi dibuat oleh Polis,Tentera atau mana mana Jabatan Kerjaan,tapi oleh badan swasta , kelab kelab atau sebagainya. Bukankah ini satu perkembangan atau satu kemajuan?
DRY: Tuan telah berkongsi pengalaman yang jarang diketahui oleh anak mukim, saya bagi pihak KRT Bukit Depu merasa bertuah kerana pengelibatan Tuan dalam skim SRS kami ,dan kami bangga dengan pencapaian Tuan dalam bidang skydiving ini . Semoga Tuan terus berjaya serta mencapai matlamat yang Tuan hajati . Saya juga mengambil kesempatan disini mengucapkan berbanyak banyak terima kasih diatas kesudian Tuan melapangkan masa .Saya doakan semoga kesihatan Tuan pulih dengan segera.
Tuan Pauzan: Sama sama. Dan Terima kasih kembali.
No comments:
Post a Comment